Monday, February 10, 2014

Saya..hanya Hamba Allah

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih..
Salam perkenalan..


           Saya mula mengenali dunia blogging sejak bermulanya era info tanpa sempadan iaitu kehadiran internet yang boleh di akses di mana saja kita berada. Minat saya yang suka membaca dan mencari rujukan bukan sahaja melalui buku dan majalah malahan dengan carian google kebanyakannya akan menyinggah di blog-blog persendirian. Teruja dan tertarik dengan penulisan dan cara penyampaian sesetengah blog mencetuskan idea untuk menjadi sebahagian daripada mereka. Sejak bergelar isteri dan ibu banyak ilmu yang perlu dipelajari terutamanya ilmu keibubapaan secara tidak langsung memberi kekuatan diri untuk sentiasa mencari ilmu dan cara yang paling mudah ialah membaca. Masalah yang sering saya hadapi ialah penyakit lupa... setiap kali buat catitan tiba-tiba hilang entah di mana... macam main sorok -sorok pula, bila diperlukan memang tak jumpa kalau dah selesai ia akan muncul dengan sendirinya hemm magik kan...harapan saya dengan terbinanya blog ini sedikit sebanyak memberi semangat untuk saya menyimpan catitan dengan lebih sistematik bukan sahaja dapat menjadi rujukan peribadi malahan dapat berkongsi pengalaman dengan ibu-ibu diluar sana InsyaAllah....

             Saya dilahirkan di Kuching Serawak tetapi dibesarkan di merata negeri, ini kerana tugas ayah saya sebagai askar tidak memungkinkan kami tinggal tetap setempat. Saya mempunyai 6 adik beradik dan saya adalah anak yang ketiga. Saya memulakan persekolahan rendah di Sek. Ren. Keb. Perempuan Bandar Kluang dari tahun 1 hingga tahun 3. Disebabkan tempoh perkhidmatan ayah saya telah hampir tamat menyebabkan kami berpindah sementara ke Felda Bukit Besar dan meneruskan persekolahan tahun 4 di sekolah rendah disana selama setahun. Akhirnya setelah tamat tempoh perkhidmatan ayah saya, dengan rasminya kami berpindah ke Felda Nitar 1. Disinilah bermulanya kehidupan kami sekeluarga merasa susah senang sebagai warga Felda dari tiada bekalan elektrik dan air sehinggalah pelbagai kemudahan disediakan. Saya meneruskan persekolahan di Sek Ren Keb Nitar 1 sehingga tamat tahun 6 dan meneruskan persekolahan menengah rendah di SMK Nitar sehingga tingkatan 3. Setelah mendapat keputusan PMR yang agak cemerlang membuka peluang untuk saya belajar di sekolah berasrama penuh di MRSM Muar. Selepas SPM saya melanjutkan pengajian di UKM dengan mengambil bidang Bioperubatan.
                    
             Oleh kerana niat dihati hendak mengurangkan beban kewangan ibubapa, alhamdullillah sebaik sahaja tamat tugas pembentangan viva tesis ,saya telah mendapat tawaran bekerja di salah sebuah kilang farmaseutikal di Bangi sebagai 'Quality Analyst'. Hampir setahun setengah bergelumang dengan pelbagai cabaran kerja, pahit, manis dan paling tak tahan penat yang amat kerana semua kerja disini mengejar 'dateline'. Kalau lambat pasti bos terus berdiri di sebelah sampai boleh hafal soalan yang nak ditanya. Keuntungan bekerja di swasta menyebabkan saya berfikir banyak kali sebelum bersetuju menerima tawaran bekerja sebagai penjawat awam tetapi akhirnya atas petunjuk Ilahi serta nasihat rakan dan ibubapa pada tanggal 1 Nov 2001 saya memulakan tugas sebagai Pegawai Sains di salah sebuah hospital daerah di Selangor. Apabila menjejakkan kaki ditempat baru sememangnya menimbulkan pelbagai perasaan lebih lebih lagi disitu saya merupakan pegawai termuda yang menjadi ketua jabatan bayangkan kita perlu memberi arahan kepada anggota bawahan sebaya umur ibubapa kita sememangnya memerlukan toleransi dan kebijaksanaan. Tempoh penyesuaian diri terhadap tugas, tanggungjawab dan budaya kerja mengambil masa hampir 2 tahun sehingga saya benar-benar yakin untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran. Disini mengajar saya pentingnya menuntut ilmu dari pengalaman seseorang dan apa yang dipelajari secara teori tidak semestinya praktikal untuk dilaksanakan perlu mengikut kesesuaian keadaan terutama dari segi kepimpinan. Walaupun hanya hospital daerah beban tugas sebagai ketua sangat meletihkan, sibuk di makmal untuk kerja-kerja analitikal, bekejar untuk menghadiri pelbagai jenis mesyuarat di merata tempat, perlu mengikuti kursus, membuat pembentangan/ceramah dan menyiapkan pelbagai kerja/laporan pengurusan kadangkala sampai lewat malam, semuanya memerlukan ketahanan minda, setiap perancangan kerja perlu dilakukan bukan sahaja untuk diri malahan semua anggota bawahan, dalam hati berkata siapa kata kerja di kerajaan tidak sibuk, mungkin ketika itu kebetulan memang saya satu-satunya pegawai yang ada. Saya merancang untuk memohon pertukaran ke Johor dalam masa 3 tahun tetapi disebabkan bertemu jodoh dengan rakan lama akhirnya permohonan pertukaran terpaksa diabaikan kerana suami berkenan untuk bertugas disini. 
           
           Saya berkahwin pada tahun 2004 dan dikurniakan anak pertama lelaki pada tahun 2005 dan anak kedua perempuan pada tahun 2008. Kesibukan kerja di pejabat menyebabkan tugas dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kadangkala sedikit terabai nasib baik suami memahami apabila timbul masalah berkaitan dengan anak memang terasa seperti tidak mahu bekerja dan sehingga kini impian ingin menjadi surirumah sepenuh masa tidak pernah padam. Teringat zaman kanak-kanak apabila pergi dan balik sekolah, mak yang uruskan semua keperluan. Sememangnya zaman anak membesar tidak akan berulang dan saya terlepas mengurus anak pertama dan kedua sepenuh masa memang terasa sangat terutama niat untuk menyusukan mereka secara penuh. Sepanjang tumbesaran mereka sememangnya banyak isu isu yang timbul kadangkala memang memeningkan kepala samada berkaitan kesihatan, psikologi, pendidikan dan bermacam lagi. Nak tak nak saya perlu mencari ilmu sama ada melalui orang tua mahupun bahan bacaan. Saya mula melanggan beberapa majalah dan membeli buku-buku berkenaan keibubapaan kadang kadang tak habis khatam pun kesannya apabila hendak buat rujukan semula tak ingat bahan bacaan yang mana satu habis selongkar satu almari. Alhamdullillah kini saya dikurniakan anak ketiga perempuan dan dengan izinNya dimurahkan rezki dapat saya mengambil cuti yang agak panjang untuk memberi ruang menjaga bayi sendiri dan melihat perkembangannya setiap masa sepanjang tempoh bercuti ini disamping melayan kerenah abang dan kakak dan merasa menjadi surirumah sementara. Terima kasih yang tidak terhingga kepada majikan saya sekarang walaupun saya baru berkhidmat hampir 3 tahun di hospital baru ini yang sebenarnya mempunyai beban kerja yang sangat tinggi tetap memberi sokongan dan meluluskan permohonan saya. Niat dihati dengan peluang yang ada ini dapatlah saya mula membuat catitan apa saja isu berkaitan dengan perkembangan anak-anak sebagai rujukan peribadi dan berterusan secara istiqomah insyaAllah. 
         
        Akhir kata, harapan saya moga perkongsian ini juga dapat memberi manfaat kepada siapa yang membaca dan sekiranya penulisan saya ada yang menyinggung perasaan, itu hanyalah pendapat peribadi saya, sesunggguhnya setiap yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri. 
            
Wassalam.  
Noorazrin Binti Musa

No comments: