Saturday, February 22, 2014

Petua Cara Bijak Menghukum Anak

Assalammualaikum....

        Kadang kadang perangai anak-anak boleh memeningkan kepala kalau tiada iman di dada berkemungkinan kita boleh mengalami tekanan yang melampau. Sekiranya kita terlalu mengikut perasaan hukuman yang diberikan mungkin tidak adil untuk mereka. Sememangnya setiap anak adalah berbeza perangai dan tingkah lakunya, oleh yang demikian pendekatan juga perlu berbeza kerana setiap anak mempunyai kekuatan dan kekurangan tersendiri.  
         
          Secara kebetulan membaca entah kali keberapa buku Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif oleh Dr. Tengku Asmadi disini saya ingin berkongsi tentang isi kandungannya berkaitan cara bijak menghukum anak . Hukuman disarankan adalah selepas anak anak dimaklumkan tentang kesan dan akibat apabila berkelakuan buruk. Sekiranya kesalahan itu pertama kali dilakukan ibubapa wajar memberi amaran atau memaklumkan yang mereka marah dengan tindakan yang dilakukan tetapi tidak menunjukkan kemarahan tersebut seperti mengeluarkan perkataan atau intonasi yang kasar. Selepas itu anak perlu diberitahu tentang kesan dan akibatnya jika kesalahan berulang. 

Berikut adalah cara menghukum anak-anak secara berkesan ;
  1. Maklumkan pada anak-anak sejak awal lagi, kita sentiasa melihat dan memberitahu mereka mengenai perkembangan tingkah laku mereka. Nyatakan juga ganjaran atau hukuman yang mungkin mereka terima.
  2. Hukuman mesti disegerakan kerana ia akan memberi kesan yang mendalam. Ia juga kekal lama dalam ingatan kerana ia dilakukan ketika kekuatan emosinya tinggi. Jika tindakan dilambatkan maka anak-anak sukar mengaitkan tindakan kita dengan perlakuan mereka.
  3. Nyatakan kebaikan atau kesalahan mereka secara spesifik. Misalnya tidak cukup dengan berkata "Emak tidak suka dengan perangai kamu" kerana ia terlalu umum jadi spesifikkan contohnya " Emak tidak suka kamu pukul adik kecil seperti itu" .
  4. Nyatakan dengan jelas apa perasaan anda dan nyatakan apa kesan tingkahlaku mereka pada maruah keluarga mahupun masa depan mereka.
  5. Diam seketika supaya anak anda dapat memahami dan merasakan apa yang anda rasai.
  6. Pastikan anak anda tidak mengulanginya pada masa-masa akan datang. Nyatakan dengan jelas tindakan anda sekiranya mereka mengulanginya lagi
  7. Lihat mata anak anda semasa anda bercakap dan sentuh anak-anak anda semasa anda membina keyakinannya.
     Sesungguhnya kita manusia biasa memang tidak terlepas melakukan kesilapan kadangkala tindakan kita mungkin tidak wajar dan sekiranya memang kita yang tersilap tidak salah untuk kita mengucapkan maaf mahupun kepada anak yang kecil. Sekurang-kurangnya anak terbiasa bila melakukan kesilapan dia akan memohon maaf. Cuma cabaran kita sebagai ibubapa untuk memberi kepahaman kepada anak-anak tentang setiap tindakan atau hukuman kita terutama mereka yang masih kecil dan pastikan tindakan kita dan pasangan seiring supaya tidak berlaku kecelaruan hati anak-anak. Sesungguhnya saya sangat kagum dengan ibubapa zaman sekarang yang mempunyai anak yang ramai tetapi masih teratur dan terkawal serta berjaya semuanya. Teringat pesanan seorang ustazah (tak ingat namanya) untuk sentiasa berdoa supaya Allah ampunkan dosa kita dan pasangan serta jauhkan dosa-dosa kita daripada menjangkiti anak-anak kita kerana mereka adalah cermin kita semasa kecil. Harapan saya moga dapat memberi didikan yang sempurna kepada mereka dan dapat menjadi contoh yang terbaik untuk anak-anak. InsyaAllah...

Wassalam
Noorazrin Musa

No comments:

Post a Comment