Friday, February 14, 2014

FORMULA KEPERLUAN VS KEHENDAK

Dengan lafaz Bismillah
Assalammualaikum


       Isu semasa yang hangat diperkatakan sekarang ialah peningkatan kos sara hidup yang paling terkesan ialah mereka yang tinggal di kawasan bandar termasuklah kami sekeluarga. Terlalu banyak rumusan dan spekulasi yang dihebahkan. Daripada kita asyik menuding jari, lebih baik pada masa ini kebijaksanaan dalam mengawal aliran tunai sangat diperlukan sama ada kita berusaha menjana pendapatan tambahan, membuat pilihan barangan atau sekurang-kurangnya menuntut ilmu pengurusan kewangan. Di sini saya ingin berkongsi berkenaan formula keperluan vs kehendak di mana idea ini saya perolehi tahun lepas semasa mendengar rancangan di radio IKIM.FM sewaktu memandu pulang dari tempat kerja. Bagi pakar-pakar kewangan formula ini adalah perkara biasa tapi bagi orang kebanyakan seperti saya kaedah ini agak menarik dan sangat praktikal untuk diamalkan dalam setiap perkara. Mungkin ada juga yang berpendapat ini perkara yang remeh. 

    Sebelum kita mendalami bagaimana kegunaannya lebih baik kita memahami perbezaan maksud antara keduanya. Menurut kamus rujukan dewan bahasa dan pustaka;
    
Keperluan ialah apa-apa yang diperlukan, apa-apa yang berguna, penting, harus patut, tidak boleh tidak, terpaksa atau pasti tentu.

Kehendak ialah hajat hati, keinginan, kemahuan yang keras, bercita-cita atau berangan-angan.

      Berdasarkan kaedah ini, kita hanya perlu menetapkan sesuatu perkara yang hendak dibeli berdasarkan 2 prinsip tersebut dengan cara menyenaraikan sebab/alasan sekurang kurangnya 3-5 sebab sebelum kita membuat keputusan untuk membeli. Selalunya nak mendapatkan 3 sebab pun susah untuk difikirkan tetapi jika lebih daripada 5 sebab berjaya difikirkan keputusan kita akan lebih rasional. Hasil penilaian terhadap sebab atau alasan tersebut seperti  
           a) keperluan >80% dari kehendak = wajib beli
           b) keperluan 70% - 80% dari kehendak = boleh beli
           c) keperluan < 70% dari kehendak = KIV
           d) keperluan < 40% dari kehendak = tidak perlu beli cari alternatif.

    Percubaan saya dengan mengaplikasikan kaedah ini semasa proses persediaan persekolahan anak awal tahun ini. Walaupun ia agak remeh tapi berbaloi. 

Langkah pertama ialah menyenaraikan semua barang-barang persekolahan untuk abang dan kakak yang biasa diperlukan.

Langkah kedua membuat semakan barang-barang sedia ada. ini lebih kepada 'housekeeping' dimana sisih barang yang tidak boleh digunakan dan susun barang yang yang masih boleh digunakan.

Langkah ketiga tentukan kategori setiap barang yang disenaraikan sama ada keperluan atau kehendak dengan mengkaji alasan setiap barangan tersebut diperlukan.
contoh membeli pakaian sekolah 
1- tambah bilangan baju yang baru - kehendak sebab baju sedia ada 4 pasang dan masih elok.
2- dapat panjangkan tempoh pusingan basuhan- kehendak sebab meringankan kerja ummi. 
3- sekadar menceriakan hati abang Haqeem berbaju baru- kehendak abang haqeem.

Langkah keempat hanya buat senarai pendek yang berasingan antara barang keperluan yang wajib dibeli dan barang kehendak.

      Hasilnya kami dapat menjimatkan peruntukan yang telah ditetapkan (berdasarkan perbelanjaan tahun lepas) untuk persekolahan Abang Haqeem dan Kakak Aleesya dimana lebihan duit itu kami jadikan simpanan untuk keperluan barang habis pakai seperti alatulis sepanjang tahun ini.

       Walaubagaimanapun tidak salah sekiranya barang yang dikategorikan sebagai kehendak dibelanjakan sekiranya kita memang mempunyai lebihan peruntukan atau simpanan khas untuk membeli barang idaman atau sekurang-kurangnya sebagai hadiah untuk diri dan keluarga kerana sebaik baik sedekah adalah diberi kepada ahli keluarga terdekat. Perkara paling penting pada kami sebenarnya melihat keceriaan dan keterujaan diwajah anak-anak ketika mendapat barang idamannya.

Wallahualam

Noorazrin Musa


No comments:

Post a Comment