Tuesday, February 25, 2014

Keperluan imunisasi pada anak-anak

Assalammualaikum..


         Minggu lepas baby Amiera baru saja melengkapkan imunisasi yang ketiga untuk vaksin DTaP/Hib/IPV. Mula-mula baca masa Amiera 1 bulan di buku temujanji ingatkan kena ambil 3 suntikan maklumlah saya memang fobia tak boleh tengok kanak-kanak terutama bayi dicucuk atau diambil darah terasa kesian sangat mesti Amiera akan menangis sekuat hati rupa-rupanya hanya satu suntikan untuk kesemua vaksin tersebut. Nampak sangat dalam 5 tahun ketiadaan anak kecil macam-macam perubahan teknologi sains berlaku. Vaksin pun sudah ada 5 in 1 bukan minuman segera sahaja dalam bentuk 3 in 1. Suntikan kali ini Amiera mengalami sedikit demam panas, alhamdulillah nasib baik hanya memakan masa 2 hari sahaja. Biasalah kalau anak sakit, umminya juga akan sakit tak boleh tidur malam sebab risau takut suhu anak meningkat secara mendadak.

          Disebabkan terasa agak jahil tentang sistem imunisasi yang baru ini terasa ringan tangan untuk mencari maklumat berkaitan dengan keperluan imunisasi terbaru untuk bayi. Berdasarkan maklumat Center for Disease Control and Prevention telah menyediakan cadangan keperluan imunisasi kanak-kanak berumur dari 0-6 tahun walaubagaimanapun keperluan dan perlaksanaan di setiap negara adalah berbeza mengikut tahap kritikal dan pendedahan kepada penyakit tersebut. Disebabkan saya tidak dapat menyalin terus maklumat daripada website CDC jadi rujukan jadual dibawah diambil daripada www.babycenter.com.my dimana program imunisasi adalah lebih kurang sama dengan apa yang dilaksanakan disetiap klinik kesihatan dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia dan program ini diberikan secara percuma.

         InsyaAllah saya akan menggali segala maklumat berkaitan dengan semua vaksin dibawah dan akan berkongsi secara berperingkat disini.

Wassalam
Noorazrin Musa


Your baby's age
Immunisation offered
How it is given
Birth
Tuberculosis
1 injection
Hepatitis B
1 injection
1 month old
Hepatitis B
1 injection
2 months old
Diphtheria, tetanus, pertussis (whooping cough) / polio (see below) / Haemophilus influenzae type b (Hib)
(DTaP/IPV/Hib)
1 injection
3 months old
Diphtheria, tetanus, pertussis (whooping cough) / polio (see below) / Haemophilus influenzae type b (Hib)
(DTaP/IPV/Hib)
1 injection
5 months old
Diphtheria, tetanus, pertussis (whooping cough) / polio (see below) / Haemophilus influenzae type b (Hib)
(DTaP/IPV/Hib)
1 injection
6 months old
Hepatitis B
1 injection
Measles (Sabah only)
1 injection
9 months old
Japanese encephalitis (Sarawak only)
1 injection
10 months old
Japanese encephalitis (Sarawak only)
1 injection
1 year
Measles, mumps and rubella
(MMR)
1 injection
18 months old
Diptheria, tetanus, pertussis (whooping cough) / polio (see below) / Haemophilus influenzae type b (Hib)
(DTaP/IPV/Hib)
1 injection
Japanese encephalitis (Sarawak only)
1 injection
4-5 years
Japanese encephalitis (Sarawak only)
1 injection
6-7 years
Measles, mumps and rubella (booster)
(MMR)
1 injection
7 years
Diphtheria & tetanus / polio (before starting school)
(DT/IPV)
1 injection
12 years
Diphtheria & tetanus / polio
(DT/IPV)
1 injection
13 years
Human papillomavirus (given if parents agree)
(HPV)
1 injection

·         2nd dose 1 month later
·         3rd dose 6 months later

Saturday, February 22, 2014

Petua Cara Bijak Menghukum Anak

Assalammualaikum....

        Kadang kadang perangai anak-anak boleh memeningkan kepala kalau tiada iman di dada berkemungkinan kita boleh mengalami tekanan yang melampau. Sekiranya kita terlalu mengikut perasaan hukuman yang diberikan mungkin tidak adil untuk mereka. Sememangnya setiap anak adalah berbeza perangai dan tingkah lakunya, oleh yang demikian pendekatan juga perlu berbeza kerana setiap anak mempunyai kekuatan dan kekurangan tersendiri.  
         
          Secara kebetulan membaca entah kali keberapa buku Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif oleh Dr. Tengku Asmadi disini saya ingin berkongsi tentang isi kandungannya berkaitan cara bijak menghukum anak . Hukuman disarankan adalah selepas anak anak dimaklumkan tentang kesan dan akibat apabila berkelakuan buruk. Sekiranya kesalahan itu pertama kali dilakukan ibubapa wajar memberi amaran atau memaklumkan yang mereka marah dengan tindakan yang dilakukan tetapi tidak menunjukkan kemarahan tersebut seperti mengeluarkan perkataan atau intonasi yang kasar. Selepas itu anak perlu diberitahu tentang kesan dan akibatnya jika kesalahan berulang. 

Berikut adalah cara menghukum anak-anak secara berkesan ;
  1. Maklumkan pada anak-anak sejak awal lagi, kita sentiasa melihat dan memberitahu mereka mengenai perkembangan tingkah laku mereka. Nyatakan juga ganjaran atau hukuman yang mungkin mereka terima.
  2. Hukuman mesti disegerakan kerana ia akan memberi kesan yang mendalam. Ia juga kekal lama dalam ingatan kerana ia dilakukan ketika kekuatan emosinya tinggi. Jika tindakan dilambatkan maka anak-anak sukar mengaitkan tindakan kita dengan perlakuan mereka.
  3. Nyatakan kebaikan atau kesalahan mereka secara spesifik. Misalnya tidak cukup dengan berkata "Emak tidak suka dengan perangai kamu" kerana ia terlalu umum jadi spesifikkan contohnya " Emak tidak suka kamu pukul adik kecil seperti itu" .
  4. Nyatakan dengan jelas apa perasaan anda dan nyatakan apa kesan tingkahlaku mereka pada maruah keluarga mahupun masa depan mereka.
  5. Diam seketika supaya anak anda dapat memahami dan merasakan apa yang anda rasai.
  6. Pastikan anak anda tidak mengulanginya pada masa-masa akan datang. Nyatakan dengan jelas tindakan anda sekiranya mereka mengulanginya lagi
  7. Lihat mata anak anda semasa anda bercakap dan sentuh anak-anak anda semasa anda membina keyakinannya.
     Sesungguhnya kita manusia biasa memang tidak terlepas melakukan kesilapan kadangkala tindakan kita mungkin tidak wajar dan sekiranya memang kita yang tersilap tidak salah untuk kita mengucapkan maaf mahupun kepada anak yang kecil. Sekurang-kurangnya anak terbiasa bila melakukan kesilapan dia akan memohon maaf. Cuma cabaran kita sebagai ibubapa untuk memberi kepahaman kepada anak-anak tentang setiap tindakan atau hukuman kita terutama mereka yang masih kecil dan pastikan tindakan kita dan pasangan seiring supaya tidak berlaku kecelaruan hati anak-anak. Sesungguhnya saya sangat kagum dengan ibubapa zaman sekarang yang mempunyai anak yang ramai tetapi masih teratur dan terkawal serta berjaya semuanya. Teringat pesanan seorang ustazah (tak ingat namanya) untuk sentiasa berdoa supaya Allah ampunkan dosa kita dan pasangan serta jauhkan dosa-dosa kita daripada menjangkiti anak-anak kita kerana mereka adalah cermin kita semasa kecil. Harapan saya moga dapat memberi didikan yang sempurna kepada mereka dan dapat menjadi contoh yang terbaik untuk anak-anak. InsyaAllah...

Wassalam
Noorazrin Musa

Thursday, February 20, 2014

Mendidik anak mengikut sunnah Rasulullah SAW

Assalammualaikum..
Salam Jumaat.....


          Sekali lagi mendengar berita tentang kes pasangan yang bakal dihukum atas kesalahan memukul anak. Rasa sedih dan simpati hanya dapat berdoa mereka terlepas atau paling tidak dikurangkan hukuman. Negatifnya masyarakat bukan islam mungkin memandang hukuman untuk tujuan mengajar terutama berkaitan dengan cara hidup islam itu satu penderaan, padahal hukuman dalam islam memang dibolehkan dan ada caranya tetapi bukan sampai mencederakan. Maklumlah anak-anak terutama yang berumur dibawah 15 tahun mahupun yang sudah dewasa pun boleh menyalahtafsir setiap kali mereka dihukum atau dirotan contohnya. Kalau dingat kembali masa kecil dulu memang saya agak nakal, rotan dan cubitan perkara biasa bila ada arahan dari emak yang tidak dipatuhi. Memang ada terfikir seolah olah macam mak tak sayang ke asyik nak pukul je tapi bila dah dewasa dan ada anak sendiri baru paham deritanya hati bila anak tak ikut arahan. Macam tu la perasaan makbak masa saya kecil-kecil dulu. 
          
Contoh yang terbaik mendidik anak-anak adalah mengikut cara Nabi Muhammad SAW. Harapan saya dapat meneladani teknik didikan baginda.

4 tahap bagaimana mendidik anak mengikut sunnah Rasulullah s.a.w adalah :
1)   Umur anak-anak 0-6 tahun. Pada masa ini, Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yg tidak berbatas. Berikan mereka kasih sayang tanpa mengira anak sulung mahupun bongsu dengan bersikap adil terhadap setiap anak-anak. Tidak boleh dirotan sekiranya mereka melakukan kesalahan walaupun atas dasar untuk mendidik.
Kesannya, anak-anak akan lebih dekat dengan kita dan merasakan kita sebahagian masa membesar mereka yang boleh dianggap sebagai rakan dan rujukan yang terbaik. Anak-anak merasa aman dalam meniti usia kecil mereka kerana mereka tahu yang anda (ibubapa) selalu ada disisi mereka setiap masa.

2)   Umur anak-anak 7-14 tahun.  Pada tahap ini kita mula menanamkan nilai DISIPLIN dan TANGUNGJAWAB kepada anak-anak. Menurut hadith Abu Daud, “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). Pukul itu pula bukanlah untuk menyeksa, cuma sekadar untuk menggerunkan mereka. Janganlah dipukul bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang. Allah SWT mencipta sendiri muka Nabi Adam.
Kesannya, anak-anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat. Inilah masa terbaik bagi kita dalam memprogramkan sahsiah dan akhlak anak-anak mengikut acuan Islam. Terpulang pada ibubapa samada ingin menjadikan mereka seorang muslim, yahudi, nasrani ataupun majusi.

3)   Umur anak-anak 15- 21 tahun. Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Pada tahap ini, ibubapa seeloknya mendekati anak-anak dengan BERKAWAN dengan mereka. Banyakkan berborak dan berbincang dengan mereka tentang perkara yang mereka hadapi. Bagi anak remaja perempuan, berkongsilah dengan mereka tentang kisah kedatangan ‘haid’ mereka dan perasaan mereka ketika itu. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka. Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama dihadapan adik-beradik yang lain tetapi banyakkan pendekatan secara diplomasi walaupun kita adalah orang tua mereka.Kesannya, tiada orang ketiga atau ‘asing’ akan hadir dalam hidup mereka sebagai tempat rujukan dan pendengar masalah mereka. Mereka tidak akan terpengaruh untuk keluar rumah untuk mencari keseronokkan memandangkan semua kebahagian dan keseronokkan telah ada di rumah bersama keluarga.

4)   Umur anak 21 tahun dan ke atas. Fasa ini adalah masa ibubapa untuk memberikan sepenuh KEPERCAYAAN kepada anak-anak dengan memberi KEBEBASAN dalam membuat keputusan mereka sendiri. Ibubapa hanya perlu pantau, nasihatkan dengan diiringi doa agar setiap hala tuju yang diambil mereka adalah betul. Bermula pengembaraan kehidupan mereka yang sebenar di luar rumah. Insha’Allah dengan segala displin yang diasah sejak tahap ke-2 sebelum ini cukup menjadi benteng diri buat merekaIbubapa jangan penat untuk menasihati mereka, kerana mengikut kajian nasihat yang diucap sebanyak 200 kali terhadap anak-anak mampu membentuk tingkahlaku yang baik seperti yang ibubapa inginkan.
                                                                                             Rujukan Excel Chalif Consultancy& services

          Harapan semua ibubapa untuk mendidik anak-anak supaya berjaya menjadi insan yang berguna di dunia dan akhirat dan senjatanya ialah doa ibubapa itu sendiri. Hari ini merupakan hari yang terbaik untuk berdoa dan waktu mustajab sekiranya berkesempatan mendengar ialah doa diantara 2 khutbah jumaat. InsyaAllah....

Wassalam
Noorazrin Musa

Tuesday, February 18, 2014

PELUKAN - Terapi untuk anak-anak

Assalamualaikum..

            Sebelum ini saya ada berkongsi berkenaan cara mengurangkan rasa cemburu anak-anak bila kehadiran orang baru. Antara pendekatan yang sering saya terbaca ialah pelukan yang mempunyai kuasa yang sangat besar terhadap psikologi anak-anak. Sambil melayan Baby Amiera sempat saya mencari sedikit maklumat berkenaan kuasa pelukan untuk perkongsian hari ini.

Kesan dari pelukan itu seperti:

1.    Dapat membina kepercayaan & rasa selamat memberi ruang rasa terbuka dan jujur dengan ibubapa.
2.  Dapat meningkatkan tahap hormon oxytocin yang menyembuhkan perasaan kesepian, keseorangan, kekosongan dan kemarahan
3.    Ia juga dapat meningkatkan harga diri dimana memberi satu perasaan yang mana anak anak berasa disayangi dan istimewa
4.    Pelukan juga dapat mengurangkan ketegangan badan

                  Rujukan;ibubapacemerlang.com

Mengikut petikan kata kata Dr. Rubiah Kulop yang saya ambil dari tulisan Zulhafidz di artikal nota bidadari 2013 menyatakan peluklah anak anda sekurang-kurang 2 kali sehari supaya hatinya dekat dengan kita. Manakala kenyataan yang paling dibimbangi dimana beliau juga ada menyatakan jangan biarkan anak-anak miskin pelukan terutama anak gadis kerana ditakuti apabila dia dewasa dia mudah tewas dengan pelukan teman lelaki menyebabkan hatinya mudah tersentuh dan akhirnya jiwa dan raga menjadi korban. Jadi peluklah anak anda dan jangan lupa orang tersayang agar sentiasa dekat dihati. Manakala pelukan yang terbaik mengikut Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah adalah dada bertemu dada kerana secara fizikalnya jantung kita hampir dan saling bertemu berkongsi getaran yang sama.

Jadi macam biasa rutin bila saya berada di rumah sebelum hantar pergi sekolah abang haqeem akan salam dan saya akan cium dahinya sambil bacakan doa. Tapi pagi tadi saja lepas doa saya peluk dia kuat-kuat sambil berkata “ummi dan abah sayang haqeem jadi dekat sekolah belajar dan dengar apa cikgu cakap jangan banyak main”. Terus dia jawap “ok ummi” . Sebelum ini jarang peluk dia, mungkin sebab dia dah besar, bukan apa kadang-kadang tengah kelam kabut pagi pagi terutama masa saya sibuk bersiap nak pergi kerja hanya sempat cium anak-anak selebihnya abah dia akan uruskan. Bila ada masa di rumah sibuk layan kakak dan sekarang sudah ada adik tumpuan paling banyak pada adiknya. Kesian Abang Haqeem memang pun dia ada komen, kedang-kadang kalau ada kesempatan dia akan duduk rapat-rapat dengan kita minta dimanja dan dipeluk bila perasan memang saya layankan je. Memang benarlah kuasa pelukan tu sangat berkesan pada hati sebab selalunya bila saya beri nasihat dia jawab dengan lambat dan kadang-kadang saya perlu buat ayat penegasan.


Oleh yang demikian pengajaran serta peringatan untuk diri saya supaya sentiasa mencari ruang dan tanpa sebab untuk memeluk setiap anak-anak walaupun sehingga mereka dewasa. InsyaAllah...

                                                                                                                                    Wassalam
                                                                                                                            Noorazrin Musa
                                         --inilah permata hati ummiabah--

Friday, February 14, 2014

FORMULA KEPERLUAN VS KEHENDAK

Dengan lafaz Bismillah
Assalammualaikum


       Isu semasa yang hangat diperkatakan sekarang ialah peningkatan kos sara hidup yang paling terkesan ialah mereka yang tinggal di kawasan bandar termasuklah kami sekeluarga. Terlalu banyak rumusan dan spekulasi yang dihebahkan. Daripada kita asyik menuding jari, lebih baik pada masa ini kebijaksanaan dalam mengawal aliran tunai sangat diperlukan sama ada kita berusaha menjana pendapatan tambahan, membuat pilihan barangan atau sekurang-kurangnya menuntut ilmu pengurusan kewangan. Di sini saya ingin berkongsi berkenaan formula keperluan vs kehendak di mana idea ini saya perolehi tahun lepas semasa mendengar rancangan di radio IKIM.FM sewaktu memandu pulang dari tempat kerja. Bagi pakar-pakar kewangan formula ini adalah perkara biasa tapi bagi orang kebanyakan seperti saya kaedah ini agak menarik dan sangat praktikal untuk diamalkan dalam setiap perkara. Mungkin ada juga yang berpendapat ini perkara yang remeh. 

    Sebelum kita mendalami bagaimana kegunaannya lebih baik kita memahami perbezaan maksud antara keduanya. Menurut kamus rujukan dewan bahasa dan pustaka;
    
Keperluan ialah apa-apa yang diperlukan, apa-apa yang berguna, penting, harus patut, tidak boleh tidak, terpaksa atau pasti tentu.

Kehendak ialah hajat hati, keinginan, kemahuan yang keras, bercita-cita atau berangan-angan.

      Berdasarkan kaedah ini, kita hanya perlu menetapkan sesuatu perkara yang hendak dibeli berdasarkan 2 prinsip tersebut dengan cara menyenaraikan sebab/alasan sekurang kurangnya 3-5 sebab sebelum kita membuat keputusan untuk membeli. Selalunya nak mendapatkan 3 sebab pun susah untuk difikirkan tetapi jika lebih daripada 5 sebab berjaya difikirkan keputusan kita akan lebih rasional. Hasil penilaian terhadap sebab atau alasan tersebut seperti  
           a) keperluan >80% dari kehendak = wajib beli
           b) keperluan 70% - 80% dari kehendak = boleh beli
           c) keperluan < 70% dari kehendak = KIV
           d) keperluan < 40% dari kehendak = tidak perlu beli cari alternatif.

    Percubaan saya dengan mengaplikasikan kaedah ini semasa proses persediaan persekolahan anak awal tahun ini. Walaupun ia agak remeh tapi berbaloi. 

Langkah pertama ialah menyenaraikan semua barang-barang persekolahan untuk abang dan kakak yang biasa diperlukan.

Langkah kedua membuat semakan barang-barang sedia ada. ini lebih kepada 'housekeeping' dimana sisih barang yang tidak boleh digunakan dan susun barang yang yang masih boleh digunakan.

Langkah ketiga tentukan kategori setiap barang yang disenaraikan sama ada keperluan atau kehendak dengan mengkaji alasan setiap barangan tersebut diperlukan.
contoh membeli pakaian sekolah 
1- tambah bilangan baju yang baru - kehendak sebab baju sedia ada 4 pasang dan masih elok.
2- dapat panjangkan tempoh pusingan basuhan- kehendak sebab meringankan kerja ummi. 
3- sekadar menceriakan hati abang Haqeem berbaju baru- kehendak abang haqeem.

Langkah keempat hanya buat senarai pendek yang berasingan antara barang keperluan yang wajib dibeli dan barang kehendak.

      Hasilnya kami dapat menjimatkan peruntukan yang telah ditetapkan (berdasarkan perbelanjaan tahun lepas) untuk persekolahan Abang Haqeem dan Kakak Aleesya dimana lebihan duit itu kami jadikan simpanan untuk keperluan barang habis pakai seperti alatulis sepanjang tahun ini.

       Walaubagaimanapun tidak salah sekiranya barang yang dikategorikan sebagai kehendak dibelanjakan sekiranya kita memang mempunyai lebihan peruntukan atau simpanan khas untuk membeli barang idaman atau sekurang-kurangnya sebagai hadiah untuk diri dan keluarga kerana sebaik baik sedekah adalah diberi kepada ahli keluarga terdekat. Perkara paling penting pada kami sebenarnya melihat keceriaan dan keterujaan diwajah anak-anak ketika mendapat barang idamannya.

Wallahualam

Noorazrin Musa


Thursday, February 13, 2014

TIP MENGURANGKAN RASA CEMBURU ANAK-ANAK

Assalamualaikum..
            
          Sejak kehadiran baby Amiera memang saya perasan anak anak lagi menunjukkan pelbagai ragam terutama kakak walaupun dah berusia 6 tahun. Makin ditegur atau dilarang yang itulah dia akan buat .Sedang kita sibuk melayan adik dia pun sibuk nak kita mandikan atau suapkan makan atau buatkan susu dan macam – macam lagi. Kalau dibandingkan dengan abang lebih memahami sedikit sebab abang pun dah berusia 9 tahun, cuma kekadang dia ada luahkan ketidakpuasan hati sebab kita lebih beri perhatian pada si kecil.
            
           Bila ingat ingat balik memang ada terbaca buku cara mengatasi sikap yang sedikit cemburu anak-anak ini. Projek mencari gali koleksi buku pun bermula, Alhamdullillah akhirnya berjumpa buku Teknik memotivasikan Anak Cara Positif oleh Dr Tengku Asmadi. Di sini saya akan kongsikan apa yang terkandung di dalam buku tersebut.
  •    Sekiranya anak yang lebih besar menunjukkan sikap untuk menarik perhatian seperti merengek, minta dipakaikan baju, minta disuapkan makan, banyak bertanya sebaik-baiknya memang kita harus bersabar dan cuba mengikut tuntutannya semampu boleh.
  •      Sekiranya anak anak bermain kasar dengan adik kecil hanya untuk melihat sejauh mana tindakannya boleh membuatkan adik menangis sewajarnya ibu bapa perlu bercakap dengan baik dan memberitahu kesan tindakannya akan menyakitkan adik kecil.
  •             Fahami rasa cemburunya dan tidak cepat melenting mengelakkan anak lebih meragam.
  •     Sebelum kelahiran bayi, libatkan anak–anak dalam persediaan seperti mencari keperluan bayi supaya mereka bersedia menerima kehadiran orang baru.
  •      Biarkan anak sering memegang perut dan merasa gerakan bayi supaya mereka merasa keseronokan dan tidak sabar menanti kelahiran bayi.
  •     Ajak anak-anak berbincang tentang memberi nama bayi atau meminta pandangan mereka untuk memilih fesyen dan warna pakaian bayi.
  •   Adakan masa personel dengan anak-anak lain ketika bayi sedang tidur, seperti memanjakan dan bermain dengan mereka.
  •   Libatkan mereka semasa menguruskan bayi atau minta bantuan mereka seperti mengambil lampin, botol susu dan sebagainya bagi memberi rasa mereka diperlukan dan dihargai.

          Sememangnya agak meletihkan untuk melayan kerenah si kakak yang nakkan perhatian jadi setiap kali dia minta untuk diuruskan saya akan berpesan supaya dia tidak mengejut atau mengganggu adik sedang tidur supaya apa yang dikehendakinya ditunaikan. Bagi si abang pula setiap kali dia merungut saya akan katakan apa yang saya lakukan pada Baby Amiera sama seperti dia semasa kecil. Walaubagaimanapun diantara kaedah diatas berdasarkan pemerhatian, nampak gayanya abang dan kakak lebih suka dipuji apabila kita meminta bantuan dan mengucapkan terima kasih kerana berjaya membantu menguruskan adiknya. Selepas itu mereka lebih mudah mendengar nasihat, InsyaAllah...

Wassalam
Noorazrin Musa

Tuesday, February 11, 2014

Tip penulisan dalam ebook asas blog

Assalammualaikum..

Baru sekarang terasa bukan senang untuk memulakan minat dalam penulisan lebih lebih lagi dengan cabaran kengkangan masa menguruskan baby Amiera yang sentiasa memerlukan perhatian menyebabkan masa yang ada sangat berharga.

Saya sering teruja untuk menulis bila timbul sesuatu isu, sebab macam-macam perkataan atau idea berlegar legar dalam kepala tapi bila mengadap laptop dan cuba menterjemahkan karya yang kononnya banyak dalam kepala ini tetiba rasa kosong dan tak tahu nak mula macamana. Bila dah ada idea, baru menulis separuh jalan baby amiera dan bangun jadi terpaksa simpan dan berhenti. Bila ada masa semak balik ayat yang ditulis terasa macam tunggang langgang. Hehe malunya nak tekan butang ‘publish’ akhirnya ayat tergantung dan terbiar begitu lama dalam draf

Jadi untuk menyelesaikan masalah ini bagi penulis baru yang amatur seperti saya sewajarnya memang perlu membaca ebook asas blog dan penulisan. Ini juga merupakan mandat penting dari guru yang perlu dibaca sampai khatam oleh murid seperti saya.

Di dalam ebook ini banyak tip-tip berguna yang membantu memberikan idea, cara, perancangan dan rangka kerja untuk memulakan penulisan sebagaimana diselitkan pengalaman penulis serta peserta lain yang boleh dijadikan panduan dan yang paling saya suka kenyataan oleh penulis ialah  Jangan menulis syok sendiri - jika mahu blog suka disinggah pembaca dan jagalah penulisan,  gunalah Bahasa Melayu formal, walaupun santai elemen ini masih menjadi dan satu tarikan kepada pembaca. Secara tidak langsung ia memberi pengajaran dan kesedaran kepada diri saya dan yang paling penting hasil tulisan sedikit sebanyak melambangkan peribadi.

Didalam ebook ini juga terdapat panduan bagaimana menjadikan blog anda berpengaruh, bagaimana hendak menjadikan ia satu ruang perniagaan dan bagaimana untuk fokus dan konsisten dalam penulisan. Antara kaedah penulisan yang mungkin kita terlupa semasa zaman persekolahan seperti kenyataan ini;

Tips penulisan blog-perenggan pendek dan tersusun
Tulis dengan ayat yang pendek-pendek. Jika panjang bijak menggunakna koma, nokhtah, sambungan ayat dan sebagainya. Sebaiknya satu ayat bersamaan satu jeda nafas. Satu jeda nafas maksudnya, satu kali baca. Pisahkan perenggan kepada perenggan yang lebih pendek. Ini memberi ruang kepada pembaca, baca dalam keadaan santai.

          Harapan saya semoga saya dapat mengikuti setiap panduan yang diberi serta menjadikan minat menulis ini satu perkongsian ilmu dengan pembaca dan yang paling penting diberi kekuatan untuk dapat membahagikam masa sebaiknya diantara menguruskan keluarga terutama dengan kehadiran baby Amiera yng menjadi pencetus ke arah minat ini, insyaAllah.

Sekian, Wallahualam
Noorazrin Musa


Nota:
Sesiapa yang berminat boleh mendapatkan ebook ini melalui: http://ebookasasblog.blogspot.com/

Monday, February 10, 2014

Saya..hanya Hamba Allah

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih..
Salam perkenalan..


           Saya mula mengenali dunia blogging sejak bermulanya era info tanpa sempadan iaitu kehadiran internet yang boleh di akses di mana saja kita berada. Minat saya yang suka membaca dan mencari rujukan bukan sahaja melalui buku dan majalah malahan dengan carian google kebanyakannya akan menyinggah di blog-blog persendirian. Teruja dan tertarik dengan penulisan dan cara penyampaian sesetengah blog mencetuskan idea untuk menjadi sebahagian daripada mereka. Sejak bergelar isteri dan ibu banyak ilmu yang perlu dipelajari terutamanya ilmu keibubapaan secara tidak langsung memberi kekuatan diri untuk sentiasa mencari ilmu dan cara yang paling mudah ialah membaca. Masalah yang sering saya hadapi ialah penyakit lupa... setiap kali buat catitan tiba-tiba hilang entah di mana... macam main sorok -sorok pula, bila diperlukan memang tak jumpa kalau dah selesai ia akan muncul dengan sendirinya hemm magik kan...harapan saya dengan terbinanya blog ini sedikit sebanyak memberi semangat untuk saya menyimpan catitan dengan lebih sistematik bukan sahaja dapat menjadi rujukan peribadi malahan dapat berkongsi pengalaman dengan ibu-ibu diluar sana InsyaAllah....

             Saya dilahirkan di Kuching Serawak tetapi dibesarkan di merata negeri, ini kerana tugas ayah saya sebagai askar tidak memungkinkan kami tinggal tetap setempat. Saya mempunyai 6 adik beradik dan saya adalah anak yang ketiga. Saya memulakan persekolahan rendah di Sek. Ren. Keb. Perempuan Bandar Kluang dari tahun 1 hingga tahun 3. Disebabkan tempoh perkhidmatan ayah saya telah hampir tamat menyebabkan kami berpindah sementara ke Felda Bukit Besar dan meneruskan persekolahan tahun 4 di sekolah rendah disana selama setahun. Akhirnya setelah tamat tempoh perkhidmatan ayah saya, dengan rasminya kami berpindah ke Felda Nitar 1. Disinilah bermulanya kehidupan kami sekeluarga merasa susah senang sebagai warga Felda dari tiada bekalan elektrik dan air sehinggalah pelbagai kemudahan disediakan. Saya meneruskan persekolahan di Sek Ren Keb Nitar 1 sehingga tamat tahun 6 dan meneruskan persekolahan menengah rendah di SMK Nitar sehingga tingkatan 3. Setelah mendapat keputusan PMR yang agak cemerlang membuka peluang untuk saya belajar di sekolah berasrama penuh di MRSM Muar. Selepas SPM saya melanjutkan pengajian di UKM dengan mengambil bidang Bioperubatan.
                    
             Oleh kerana niat dihati hendak mengurangkan beban kewangan ibubapa, alhamdullillah sebaik sahaja tamat tugas pembentangan viva tesis ,saya telah mendapat tawaran bekerja di salah sebuah kilang farmaseutikal di Bangi sebagai 'Quality Analyst'. Hampir setahun setengah bergelumang dengan pelbagai cabaran kerja, pahit, manis dan paling tak tahan penat yang amat kerana semua kerja disini mengejar 'dateline'. Kalau lambat pasti bos terus berdiri di sebelah sampai boleh hafal soalan yang nak ditanya. Keuntungan bekerja di swasta menyebabkan saya berfikir banyak kali sebelum bersetuju menerima tawaran bekerja sebagai penjawat awam tetapi akhirnya atas petunjuk Ilahi serta nasihat rakan dan ibubapa pada tanggal 1 Nov 2001 saya memulakan tugas sebagai Pegawai Sains di salah sebuah hospital daerah di Selangor. Apabila menjejakkan kaki ditempat baru sememangnya menimbulkan pelbagai perasaan lebih lebih lagi disitu saya merupakan pegawai termuda yang menjadi ketua jabatan bayangkan kita perlu memberi arahan kepada anggota bawahan sebaya umur ibubapa kita sememangnya memerlukan toleransi dan kebijaksanaan. Tempoh penyesuaian diri terhadap tugas, tanggungjawab dan budaya kerja mengambil masa hampir 2 tahun sehingga saya benar-benar yakin untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran. Disini mengajar saya pentingnya menuntut ilmu dari pengalaman seseorang dan apa yang dipelajari secara teori tidak semestinya praktikal untuk dilaksanakan perlu mengikut kesesuaian keadaan terutama dari segi kepimpinan. Walaupun hanya hospital daerah beban tugas sebagai ketua sangat meletihkan, sibuk di makmal untuk kerja-kerja analitikal, bekejar untuk menghadiri pelbagai jenis mesyuarat di merata tempat, perlu mengikuti kursus, membuat pembentangan/ceramah dan menyiapkan pelbagai kerja/laporan pengurusan kadangkala sampai lewat malam, semuanya memerlukan ketahanan minda, setiap perancangan kerja perlu dilakukan bukan sahaja untuk diri malahan semua anggota bawahan, dalam hati berkata siapa kata kerja di kerajaan tidak sibuk, mungkin ketika itu kebetulan memang saya satu-satunya pegawai yang ada. Saya merancang untuk memohon pertukaran ke Johor dalam masa 3 tahun tetapi disebabkan bertemu jodoh dengan rakan lama akhirnya permohonan pertukaran terpaksa diabaikan kerana suami berkenan untuk bertugas disini. 
           
           Saya berkahwin pada tahun 2004 dan dikurniakan anak pertama lelaki pada tahun 2005 dan anak kedua perempuan pada tahun 2008. Kesibukan kerja di pejabat menyebabkan tugas dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kadangkala sedikit terabai nasib baik suami memahami apabila timbul masalah berkaitan dengan anak memang terasa seperti tidak mahu bekerja dan sehingga kini impian ingin menjadi surirumah sepenuh masa tidak pernah padam. Teringat zaman kanak-kanak apabila pergi dan balik sekolah, mak yang uruskan semua keperluan. Sememangnya zaman anak membesar tidak akan berulang dan saya terlepas mengurus anak pertama dan kedua sepenuh masa memang terasa sangat terutama niat untuk menyusukan mereka secara penuh. Sepanjang tumbesaran mereka sememangnya banyak isu isu yang timbul kadangkala memang memeningkan kepala samada berkaitan kesihatan, psikologi, pendidikan dan bermacam lagi. Nak tak nak saya perlu mencari ilmu sama ada melalui orang tua mahupun bahan bacaan. Saya mula melanggan beberapa majalah dan membeli buku-buku berkenaan keibubapaan kadang kadang tak habis khatam pun kesannya apabila hendak buat rujukan semula tak ingat bahan bacaan yang mana satu habis selongkar satu almari. Alhamdullillah kini saya dikurniakan anak ketiga perempuan dan dengan izinNya dimurahkan rezki dapat saya mengambil cuti yang agak panjang untuk memberi ruang menjaga bayi sendiri dan melihat perkembangannya setiap masa sepanjang tempoh bercuti ini disamping melayan kerenah abang dan kakak dan merasa menjadi surirumah sementara. Terima kasih yang tidak terhingga kepada majikan saya sekarang walaupun saya baru berkhidmat hampir 3 tahun di hospital baru ini yang sebenarnya mempunyai beban kerja yang sangat tinggi tetap memberi sokongan dan meluluskan permohonan saya. Niat dihati dengan peluang yang ada ini dapatlah saya mula membuat catitan apa saja isu berkaitan dengan perkembangan anak-anak sebagai rujukan peribadi dan berterusan secara istiqomah insyaAllah. 
         
        Akhir kata, harapan saya moga perkongsian ini juga dapat memberi manfaat kepada siapa yang membaca dan sekiranya penulisan saya ada yang menyinggung perasaan, itu hanyalah pendapat peribadi saya, sesunggguhnya setiap yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu dari kelemahan saya sendiri. 
            
Wassalam.  
Noorazrin Binti Musa